Keroncong Cinta

Kerana Cinta Ibarat Keroncong…
01 9th, 2009

Rasanya kalau jadi seorang selebriti ni memang anda akan menjadi milik ramai. Segala-galanya tentang diri anda perlu dihebahkan kepada masyarakat. Itu rasa saya saja..

Yalah, nampaknya tahun 2008 bukan saja ada banyak kisah penceraian selebriti yang sensasi, malahan ada banyak juga kisah perkahwinan selebriti yang dikomersialkan.. Tak payahlah saya nak beri sebarang contoh atau menyebut nama-nama selebriti tuh, ramai yang arif rasanya..

Saya rasa menarik untuk difikirkan bila melihat gaya selebriti kita berkahwin. Bukan, saya bukan menyentuh tentang gaun pengantin yang mencecah 50K mahupun hidangan makanan yang bernilai ratusan ringgit bagi setiap satu hidangan. Bukan juga tentang goodies bag berisi pelbagai souvenir menarik tuh..

Bila sebut tentang goodies bag ni, nasib baiklah saya berkahwin just before trend goodies bag ni sampai.. Kalau tak, tak dapat saya bayangkan berapa banyak agaknya wang yang perlu saya belanjakan…

Balik semula kepada topik tadi, saya tertarik apabila perkahwinan selebriti menjadi barang dagangan.. Maksud saya bila gambar-gambar dan berita perkahwinan itu dijadikan perniagaan. Tak kiralah dalam bentuk buku khusus mahupun laman web berbayar.

Saya tahu juga yang kemungkinan bukan salah artis tersebut, tapi takkanlah selebriti itu tak dapat apa-apa ya? Hmmm.. kononnya berbuat demikian untuk memberi peluang peminat turut merasai kemeriahan perkahwinannya, tetapi kalau dah kena bayar walaupun setakat nak menatap gambar pengantin?

Hmmm.. This something to ponder..

Bagaimanapun akhirnya ianya terpulang kepada individu. Mungkin ramai yang bersetuju dengan amalan perniagaan sebegini.. Yalah, kalau tak camne nak dapatkan gambar eksklusif selebriti pengantin kan?

Dan apapun yang penting dan patut kita lakukan adalah mendoakan agar perkahwinan ini berkekalan, InsyaAllah..



Mengintai Cinta

Posted by admin in Cerita
12 26th, 2008

Tidaklah, saya bukannya nak menyanyikan lagi mengintai dari tirai kamar atau ku intai cinta dalam rahsia. Saya cuma nak bercerita..

Ini kisah semasa saya sekolah rendah. Masa tuh umur saya baru 9 tahun.. Ada seorang murid perempuan baru berpindah ke sekolah saya. Kalau saya masih ingat, namanya Norhayati Tumeran. Beliau agak pendiam orangnya.

Memandangkan saya adalah yang paling ramah dalam kelas, ya ke? Sebenarnya tidaklah.. Tapi saya ingat saya baik juga dengan Norhayati ni.. Bukanlah sebab beliau ada abang yang agak cute rupanya.. Hehehe..

Ya, Norhayati ada seorang abang yang berumur 12 tahun.. Agak cute dan kebetulannya saya tertarik dengan abangnya. Saya tak ingat pulak nama abang beliau ni.. Hahahaha..

Ala, ini bukan kes cinta monyet, cume satu tarikan kepada orang baru berlainan jantina. Yalah, kalau dibandingkan abang Norhayati dengan murid lelaki yang lainnya di sekolah saya, abang Norhayati lebih tinggi dan nampak lebih matang.

Jadi, setiap hari pada waktu pagi, rehat dan balik, saya akan mencari peluang untuk melihat abang Norhayati daripada jauh. Tak pernah berbual atau bertegur sapa pun.. Janji dapat tengok jer.. Sesekali kem salam melalui Norhayati. Tak tahulah dia sampaikan ke tidak.

Tapi, abang Norhayati pun kerap juga ke kelas saya dan mengintai-ngintai. Tak tahulah pulak samada dia mengintai saya atau mengintai adiknya.. Hehehe.. Alaaaa.. tapi pada masa itu, kita rasa seolah-olah dia mengintai sayalah..

Sayangnya, tak lama Norhayati di sekolah saya.. Seingat saya tak sampai setahun pun, beliau dan abangnya berpindah ke Air Tawar 5.. Pada awalnya, kerap juga saya dan Norhayati berutus surat, tetapi saya ni memang jenis yang malas nak pos surat. Akhirnya hubungan kami terputus dan saya tak pernah lagi mendengar berita daripada Norhayati…



Kepercayaan Dalam Bercinta

Posted by admin in Tips
12 24th, 2008

Saya memang gemar menonton television sambil membuat kerja. Walaupun saya tahu bahawa kegemaran saya ini menyebabkan saya mengambil masa yang lebih lama untuk menyiapkan kerja, saya tetap gemarkannya.

Tadi, saya menonton sebentar cerita Mami Jarum Junior. Walaupun saya telah menonton cerita ini beberapa kali, saya tidak pernah menonton bahagian awalnya, yang mengaitkan cerita Mami Jarum dengan Mami Jarum Junior.

Salah satu adegan yang menarik perhatian saya adalah sewaktu Ezad menunggu Syafinaz di lounge hotel, seorang wanita lain telah datang menggoda Ezad. Sebenarnya Ezad tidaklah melayan wanita tersebut, tetapi biasalah.. Kucing manakan menolak ikan.. Maksud saya, Ezad tidak juga bersungguh-sungguh menolak wanita tersebut.

Dari jauh, rupanya Syafinaz melihat kejadian tersebut. Tanpa usul periksa dan ditambah pula dengan kata-kata Mami Jarum Junior, Syafinaz terus marah-marah dan menuduh Ezad mempunyai perangai yang sama dengan bapanya.

Ezad yang juga telah dicucuk oleh Mami Jarum Junior, teruslah juga naik angin dan mengatakan Syafinaz mempunyai mulut yang jahat seperti ibunya..

Dan endingnya, anda pun boleh agak sendiri kan…

Apa pandangan anda dengan kejadian ini?

Ya, walaupun mungkin sedikit sebanyak perangai Datuk Meera meresap ke anaknya Ezad dan sedikit sebanyak juga kemahiran melaser mulut Mami Fatimah turut menurun ke anaknya Syafinaz, bukan ini punca sebenarnya mereka bergaduh. Sebenarnya masing-masing telah termakan dengan hasutan dan fitnah Mami Jarum Junior yang ingin memisahkan mereka kerana Mami Jarum Junior sendiri mempunyai hati kepada Ezad.

Mudahnya memisahkan pasangan bercinta kan?

Ya, sebab itulah kepercayaan kepada pasangan sangat penting dalam bercinta. Kita harus percaya bahawa pasangan juga cintakan kita dan tidak akan berpaling kepada yang lain.

Owh, tapi janganlah percaya membabi-buta pula… Nanti padah jadinya..

Hakikatnya, bagi saya jika kita tidak percayakan pasangan kita, tak ada maknanya bercinta. Lebih baik putuskan saja daripada hidup menderita dan menyiksa diri sendiri kerana sentiasa curiga terhadap pasangan. Seringkali ketidakpercayaan ini jugalah yang menjadi punca kita bergaduh dengan pasangan.

Jadi, apa kata kita sama-sama semak sejauhmanakah kepercayaan kita terhadap pasangan dan sejauhmanakah kepercayaan pasangan terhadap kita? Dan jangan lupa juga semak sejauhmanakah boleh kita percayakan pasangan kita itu?! Hahahaha..

Selamat bercinta!



Yang Pertama

Posted by admin in Cerita
12 23rd, 2008

Puas berfikir? Apa agaknya yang sesuai ditulis buat yang pertama? Bukan berfikir kerana tidak ada idea, tetapi kerana terlalu banyak idea yang ingin ditulis. Aku mahu jadikan post nombor satu ini adalah yang paling istimewa..

Akhirnya, aku putuskan kita tulis tentang yang pertama. Post yang pertama biar tentang cinta yang pertama..

Cinta pertama.. Masih boleh ingat lagi kah? Ada orang cinta pertamanya jatuh kepada wajah ibu ayahnya.. Tetapi, mana aku ingat tuh semua..

Bila sebut cinta pertama, yang aku ingat teman lelaki pertama.. Hahaha..

Sebenarnya aku tidak menjangkakanpun yang kami bercinta. Semuda usia 9 tahun, apalah yang aku tahu tentang cinta.

Ceritanya bermula begini…

Setiap petang, menjadi satu rutin harian untuk mengaji di masjid. Ramai kanak-kanak kampung ketika itu yang datang mengaji di masjid. Perempuan dan lelaki dari semuda 6 tahun sehinggalah setua 20 tahun.. Yang mengajarnya pak imam, pak bilal dan juga sesiapa aje atuk-atuk yang datang bersembahyang di masjid.

Masa itu tak perlu susah-susah mendaftar kelas. Datang saja ke masjid untuk solat maghrib. Selepas solat, usung saja Muqaddam atau Al-Quran dan duduk dihadapan mana-mana orang tua yang ada. InsyaAllah, mereka akan mengajar anda. Mudah kan?

Selalunya, tidaklah begitu lama belajar mengaji. Kalau berani, ambil giliran yang awal.. Lebih cepat giliran, lebih cepat boleh main di luar sementara menanti waktu Isyak.. Hehehe..

Ada juga yang ambil kesempatan. Waktu senggang selepas ngaji menunggu Isyak digunakan untuk berbicara tentang cinta dengan pasangan di pondok hadapan masjid.

Aku? Seringnya diseret menjadi teman kepada seorang rakan yang sedang bercinta. Usianya lebih tua 10 tahun dari aku. Yalah, kalau mereka berdua-duaan, ditangkap basah, kawin percuma pula. Jadi seret aje adik-adik yang tak mengerti apa yang mereka lakukan.

Pasangan kawanku pula menyeret seorang lagi budak lelaki yang sebenarnya teman sekelas aku. Namanya Adam. Jadi, setiap kali mereka berdua bercinta, kami berdua pula jadi jaga dihadapan pondok sambil bermain kejar-kejar.. Lucunya…

Satu hari, aku ke rumah Adam untuk makan tengah hari dan bermain-main. Bukan dengannya, tetapi atas jemputan kakaknya yang sering menyeret aku menemankannya berdating.

Esok harinya, aku dapat sepucuk surat yang bunyinya lebih kurang begini:

Saya tak suka girlfren saya pakai skirt!

Garu kepala aku kerana hairan. Ya, memang aku suka berkawan dengan Adam, tapi masa bila aku menjadi girlfrennya?

Lalu aku balas dengan surat berbunyi lebih kurang begini:

Kalau tak suka pun tak apa. Tak payah jadi girlfren sebab saya suka pakai skirt!

Sejak itu, selama 4 tahun berikutnya, kami tidak lagi bertegur sapa walaupun kami sekelas. Mungkin kerana marah, mungkin juga kerana malu…